BaNNeR

Banner created with MyBannerMaker.com

Saturday, October 27, 2012

PemBuaT BaTu NiSaN KuBuR DiGanGGu

Batu nisan merupakan batu penanda yang diletakkan sebagai penanda di pusara orang-orang yang telah meninggal dunia. Cerita ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang bekerja sebagai seorang pembuat batu nisan kubur. Kerjanya dari pagi hingga ke petang adalah mengambil tempahan batu nisan mengikut saiz yang diminta. Jom ikuti kisah seram di bawah ini.



Saya hendak berkongsi pengalaman pakcik saya yang terkena gangguan gara-gara batu nisan lama. Pakcik saya seorang pembuat batu nisan di sebuah daerah, tempatnya terpaksa saya rahsiakan. Pada satu hari Jumaat sekitar pukul lapan malam, sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan rumah pakcik saya. Seorang lelaki lingkungan 30-an datang bersama isterinya dengan menaiki sebuah kereta mewah. Pakcik saya bertanya, “Apa hal datang malam-malam begini?” Lelaki itu meminta pertolongan daripada pakcik saya. Katanya, “Abang boleh tolong saya baiki nisan ini?”

Pakcik pun membelek dua batu nisan yang dibungkus dengan suratkhabar. Pakcik terkejut, usang sangat bentuk dan rupanya sehinggakan tulisan Jawi pada batu nisan itu sukar untuk dibaca. Pakcik pun bertanya kepada lelaki itu, “Siapa punya nisan ini?” Dengan pantas lelaki itu menjawab, nisan itu milik ibunya.

Pakcik mengatakan bahawa batu nisan itu terlalu usang. Daripada membaikinya lebih baik menempah yang baru saja. “Saya tak nak nisan baru bang, saya nak nisan ini jugak…” kata lelaki itu. Kerana kasihan dengan lelaki tersebut, pakcik ingin membaikinya, dan lelaki itu dan isterinya ingin pulang segera ke Ipoh, Perak atas urusan kerja, dan dia meninggalkan nombor telefonnya.

Apabila lelaki tersebut pulang, pakcik mengambil batu nisan yang dimiliki oleh ibu lelaki tadi dan mengesatnya dengan kain. Sesudah mengesat segala kotoran dan lumut yang ada, tulisan Jawi itu sudah boleh dibaca. Memang nama tertera adalah pemiliknya. Meninggal pada tarikh 12 Mei 1990.

Sedang pakcik membelek rekahan-rekahan yang ada pada batu nisan tersebut, beliau dipaut rasa sedih melihat batu nisan yang sumbang-sumbing. Setahu beliau tidak pernah dia menerima permintaan sebegini sejak menjadi pembuat batu nisan sejak sepuluh tahun lalu. Sedar tak sedar, jam sudah menunjukkan pukul 12 malam. Terus Pak Cik tinggalkan batu nisan itu di luar rumah dan terus masuk tidur.

Sedang pakcik saya cuba memejamkan mata, tiba-tiba ada bau harum dan menusuk hidung. Kata pakcik baunya seperti bau bunga cempaka… Tidak lama kemudian… 

KKKKRRRRRAAAASSSSSSSS!!! DUMMMMM!!! Bunyi kaki diseret dan selepas itu kedengaran bunyi berdentum. Pakcik saya hendak bangun, ingin melihat sama ada pencuri.
Sedang pakcik cuba bangun, tiba-tiba kedua-dua belah bahu pakcik saya seperti ditimpa benda berat. Badan pakcik tak boleh bergerak. Pakcik seperti terpaku di atas katil. Dia membuka mata perlahan-lahan dan nampak cahaya terang-benderang. Di hadapan pakcik ada bayang-byang hitam yang amat besar. Bila pakcik celikkan mata lagi, ternampak seorang wanita yang tinggi lampai hingga ke siling dan di tangan kiri wanita itu memegang batu nisan. Wanita berbaju hitam koyak rabak itu merenung tepat ke muka pakcik.

Dia memberitahu saya yang wanita itu berambut panjang dan menutup hampir separuh mukanya. Pakcik tenung ke muka wanita itu dan tidak jelas kerana mukanya ditutupi oleh rambutnya, dan ketika itulah bau busuk menyelubungi biliknya, bau busuknya teramat sangat dan dia berkata yang dia tidak pernah bau busuk sebusuk bau itu.

Lembaga wanita itu semakin hampir dengan pakcik dan mengangkat tangannya yang memegang batu nisan seperti ingin menghempap kepala pakcik. Hampir sejengkal lagi lembaga itu menghampirinya, pakcik berbisik di dalam hati, “Habislah kepala aku akan hancur berkecai…” dan dia memejamkan mata, dan Alhamdulillah, lembaga wanita tersebut hilang.

Selepas itu, pantas pakcik teringatkan tentang batu nisan yang dibawa oleh pasangan suami isteri tadi. Adakah wanita tersebut yang menjelma di dalam biliknya dan mungkin ‘dia’ marah pakcik kerana cuba membaikinya?

Setelah azan Subuh berkumandang, pakcik menelefon pasangan suami isteri yang datang untuk membaiki nisan buruk itu tadi. Pakcik meminta lelaki tersebut datang untuk mengambil semula nisan itu. Lelaki itu berkata, “Eh kenapa bang?” Pakcik tak sanggup untuk memberitahu lelaki tersebut tentang apa yang dialaminya, “Maaf saya tidak boleh baiki nisan ini…” Lelaki itu menjawab, “Lah… Abang sajalah yang boleh tolong saya, saya hantar batu nisan ni kepada ramai pembuat nisan tetapi semua menghantar balik.” Pakcik menolak juga permintaan lelaki itu. Pakcik memberitahu saya, mungkin gangguan itulah juga yang menyebabkan orang lain enggan membaiki batu nisan tersebut.

Nota Kaki - Sungguh misteri ini kisah ini. Berkemungkinan batu nisan tersebut berpenunggu. Walaupun kita sendiri tidak mengetahui bagaimana pak cik ini diganggu, dan pak cik itu sendiri tidak mengetahui siapakah individu yang menghantar batu nisan tersebut. Wallahu’alam.

DiGanGGu KeLiBaT PoConG

Hantu pocong merupakan antara nama yang disenaraikan sebagai hantu oleh orang Melayu. Hantu pocong digambarkan sebagai hantu yang berbungkus kain kafan dan berjalan secara terlompat-lompat. Penduduk kampung tersusun Raja Bashah Kuala Kurau, di sini gempar dengan gangguan kelibat lembaga berkain putih atau dikenali sebagai hantu ‘pocong’ sehingga menyebabkan sebahagian besar mereka takut keluar rumah terutama waktu malam.



Seorang saksi kejadian, Mohd Desa Ahmad, 52, berkata, cerita kewujudan hantu itu mula tersebar di seluruh kampung sejak tiga bulan lalu apabila sebanyak tiga kes penemuan lembaga berkenaan dilaporkan sehingga kini. Menurutnya, pengalaman terserempak dengan lembaga menyerupai hantu pocong benar-benar memberi igauan buruk setelah sebelum ini menganggap dakwaan beberapa penduduk sebagai tidak berasas.  

“Kejadian itu berlaku semasa saya sedang mengambil angin di luar rumah baru-baru ini dan tercium bau aneh seakan-akan bau tanah kubur sewaktu sedang menghisap rokok. Pada masa sama, saya mendapati terdapat sebuah motosikal sedang melintasi hadapan rumah dan alangkah terkejutnya apabila terdapat satu objek berbungkus kain putih sedang ‘membonceng’ motosikal itu tanpa disedari penunggangnya,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini semalam. Mohd Desa berkata, dia tergamam melihat objek berbungkus itu buat seketika, bagaimanapun keadaan menjadi lebih mengerikan apabila muncul di hadapannya secara tiba-tiba.

“Sedang saya tergamam melihat kejadian itu, tiba-tiba objek itu hilang dan paling memeranjatkan, lembaga itu muncul di hadapan saya dalam jarak 10 meter. Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika ini dan saya segera meluru masuk ke dalam rumah dan menutup semua tingkap serta pintu tanpa berfikir panjang,” katanya.

Seorang lagi saksi kejadian, Salleh Mat, 58, berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan anak-anaknya sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen pada jam 11 malam. “Pada masa itu saya hendak menutup pintu belakang rumah kerana sudah lewat malam. Saya perasan ada kelibat seseorang di luar rumah berpakaian serba putih namun tidak berapa jelas kerana keadaan pada masa itu terlalu gelap. Saya pun turun dari rumah dan memberanikan diri untuk melihat dengan lebih dekat. Bagaimanapun, kelibat lembaga itu merupakan sebuah objek berbungkus yang menyerupai tubuh mayat yang dikafankan,” katanya.

Salleh yang terperanjat dengan kejadian itu terus memasuki rumah dan mengunci semua pintu dan tingkap sehingga menimbulkan kehairanan isteri dan anak-anaknya “Saya yakin lembaga yang saya lihat merupakan hantu pocong berdasarkan bentuk sama seperti manusia yang dikafankan di mana kain yang membaluti tubuh amat pudar selain mempunyai satu ikatan di atas kepala,” katanya.

Sementara itu, sumber dari penduduk asal kampung menceritakan kejadian ini dikatakan sering berlaku semasa pembukaan kampung ini sekitar tahun 1980-an sebelum isu itu lenyap beberapa tahun kemudian. Bagaimanapun, kejadian penduduk ‘diganggu’ hantu pocong berulang kembali dipercayai berpunca perlaksanaan projek penempatan semula penduduk kampung yang dikatakan ‘mengganggu’ kediaman asal makhluk halus di sini.

“Berdasarkan cerita orang tua sebelum ini, kampung ini sebelum dibuka dipenuhi hutan nipah dan hutan paya bakau. Dikatakan pelbagai perkara buruk berlaku semasa pembukaan kampung. “Ia disebabkan di kawasan hutan nipah ini terdapat banyak kubur-kubur lama yang tidak bertanda selain sebuah kubur ‘keramat’ yang dikatakan turut terletak di kawasan kampung kami,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang ingin dikenali sebagai Radhi berkata, lokasi pangkalan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau dan kawasan sekitarnya dikatakan berasal dari tapak perkuburan lama yang banyak terdapat di kawasan itu. “Semasa pembinaan pangkalan itu, terdapat gangguan sebegini dialami penduduk kampung sebelum perkara sama berulang kembali sejak tiga bulan.

“Kami tidak menolak kemungkinan ‘kemunculan’ kembali makhluk berkenaan disebabkan kerja pembinaan penempatan semula penduduk kampung yang sedang dijalankan yang dipercayai menyebabkan makhluk itu ‘marah’ dan mengganggu kami,” katanya.

Nota Kaki - Memang tidak hairanlah jika kawasan tersebut pernah didiami makhluk halus, mereka akan menganggu jika kita membuat kacau di kawasan tersebut. Namun tentang kemunculan hantu pocong yang dikaitkan dengan cerita ini, ia adalah bergantung kepada individu yang mahu mempercayai atau sebaliknya. Namun mereka juga makhluk ciptaan Allah SWT.


Friday, October 12, 2012

JeLmaaN 3 PoConG Di MajLiS PerNiKaHaN


Warga kampung Klodran Geger, Indonesia mengemparkan pekan itu dengan kehadiran tetamu tidak di undang di sebuah majlis pernikahan di kampung mereka. Tetamu ini bukan tetamu biasa, melainkan berbentuk makhluk halus menyerupai POCONG yang turut hadir di majlis pernikahan tersebut.

Jelmaan 3 pocong pada Majlis Pernikahan yang terjadi sebulan lalu ini, dapat dirakam oleh kamera video handphone secara tidak sengaja.
Dalam video tersebut, pocong pertama kelihatan sedang berdiri tepat di depan pelamin pengantin. Pocong ini tepat berdiri di depan Juru Nikah yang ketika itu sedang memberikan penerangan atau nasihat perkahwinan kepada kedua mempelai.
Kemudian pocong kedua dalam keadaan sedang duduk di kerusi di antara para tetamu yang hadir. Namun, para tetamu yang berada disebelah pocong seakan-akan tidak menyedari bahawa di sebelahnya ada pocong sedang duduk dengan santainya.
Sementara pocong ketiga kelihatan bentuknya lebih besar dari dua pocong yang lain. Perkara ini terjadi kerana jelmaan pocong ketiga tepat berdiri di depan orang yang mengambil video.
Sayangnya, wajah ketiga pocong tidak kelihatan jelas dalam video ini. Yang terlihat hanya bentuk sosok pocong yang sedang bersandar di meja yang akan digunakan para tetamu. 
Ini disebabkan kedudukan pocong membelakangi mereka yang mengambil gambar menggunakan handphone. Malah pocong tersebut hanya dapat di lihat melalui video kamera handphone tersebut dan tidak terlihat dek mata kasar.
Memang seram jika di fikirkan perkara ini.Mungkin ada yang dengki dengan pengantin dan tujuan 3 pocong dihantar untuk merosakkan majlis pernikahan ini.
Fakta Tentang Pocong :
Nota Kaki – Ternyata masih ada orang yang mengamalkan ilmu yang salah di sisi agama islam, malah sanggup menggunakannya terhadap orang lain dengan tujuan atau niat yang buruk. Hal begini kemungkinan berlaku adalah tinggi. Bukan untuk mempercayai, tetapi untuk memperingati bahawa setiap apa yang kita buat masih belum tentu memuaskan hati sesetengah pihak.

LoRonG PuaKa Di TaMaN SeLaSiH KuLiM


Mungkin ada di antara penduduk Taman Selasih, Kulim Kedah pernah mendengar tentang satu kisah seram di kawasan tersebut. Rata-rata penduduk di sana sibuk bercerita ternampak kelibat lembaga yang menyeramkan.
Mungkin ada di antara kita pernah berkujung di kawasan Taman Selasih, Daerah Kulim, Kedah darul Aman. Artikel ini sudah lama sebenarnya dan ditulis pada November 2011. Namun dari dulu lagi  tiada siapa yang menyangka bahawa kebanyakan kawasan taman perumahan di sini adalah merupakan hutan ‘tempat jin bertendang’ dan menjadi tempat persembunyian komunis.


Bagi penduduk asal di sini yang berusia 60 hingga 70 tahun, mereka tidak menafikan bahawa sekitar tahun 40-an, banyak ‘benda’ telah ditanam di tengah hutan bagi tujuan perubatan dan menghalau makhluk halus yang merasuk.
Jalan pintas yang menghubungkan Taman Saga ke Taman Rhu adalah laluan yaang masih digunakan sehingga kini. Beberapa orang saksi telah mendakwa yang mereka pernah ternampak lembaga putih sedang terbang atau bertenggek di atas dahan pokok di sepanjang jalan tersebut.
Salah seorang di antara mereka adalah En.Hirmin Osman, seorang ahli Skuad Rondaan Sukarela (SRS) Taman Selasih. Beliau tersua dengan lembaga putih itu sekitar jam 3.30 pagi semasa membuat rondaan pencegahan jenayah dan lembaga itu dilihat sedang terbang seiringan dengannya dalam anggaran jarak lapan meter sahaja.


Kata En.Hirmin, “Ketika itu, saya hanya mendiamkan diri dan terus menunggang motosikal sehingga tiba di Taman Rhu dan seterusnya menggunakan jalan lain untuk ke Taman Selasih. Apabila tiba di rumah, badan saya terasa panas seperti hendak demam. Saya memang nampak lembaga putih itu terbang dengan jelas”
Seorang lagi saksi yang ditemuramah adalah Mr.Ravindran Rao, seorang pekerja industri. Semasa beliau pulang lewat daripada tempat kerja, beliau terasa motosikal yang ditunggangnya agak berat, tetapi beliau terus menunggang tanpa sebarang prasangka buruk. Baginya, mungkin motosikalnya yang bermasalah.
Kemudian, dengan tiba-tiba motosikalnya terasa kembali ringan seperti biasa disertai dengan deruan angin dibelakangnya seperti sesuatu bergerak dengan pantas dari tempat duduk belakang. Beliau ternampak kelibat sesuatu sedang terbang ke atas dan terus mendongak.
Setelah diperhatikan dengan teliti, kelihatan satu lembaga putih di atas dahan pokok. Beliau tidak dapat mengawal motosikalnya lalu terjatuh bersama motosikalnya kerana ketakutan.
Terang beliau, “Keanehan yang sering diperkatakan oleh penduduk setempat tentang lorong puaka itu memang benar-benar berlaku dan saya sendiri telah mengalaminya. Pada hari kejadian, saya balik lewat kerana bekerja lebih masa. Jika menggunakan jalan biasa, saya akan lebih lewat lagi tiba di rumah. Oleh itu, saya menggunakan lorong puaka tersebut sebagai jalan pintas”
“Selepas kemalangan itu, saya tidak sedarkan diri dan selepas itu baru saya bertanya kepada keluarga. Mereka menyatakan yang saya berkelakuan aneh seperti ketawa seorang diri dan makan dengan gelojoh. Mereka kemudiannya mendapatkan bantuan daripada pengamal perubatan tradisional India untuk memulihkan saya”

Nota Kaki – Mungkin kejadian seumpamana ini tidak berlaku gangguan lagi. Lagipun cerita ini sudah lama. Tetapi tidak tahulah jika ada penduduk di sana mendakwa ternampak kelibat makhluk yang lain. Apa-apapun, mereka juga adalah ciptaan Allah SWT. Apa yang paling penting, kita perlu yakin bahawa Allah SWT sentiasa bersama kita.

HanTu TanPa KePaLa Di KuLiM


Penduduk di Kulim Kedah menjadi gempar apabila muncul lembaga tidak berkepala berdiri di tepi jalan apabila menjelang waktu tengah malam terutama ketika waktu hujan.

Ada dalam kalangan kita menolak kewujudan alam misteri dan mistik. Tidak kurang yang menyatakan ia hanya tahyul dan tidak seharusnya dipercayai. Bagi penduduk Terap Daerah Kulim Kedah, penemuan mayat tiga beradik tanpa kepala beberapa tahun lalu, meninggalkan kesan kepada mereka apabila jelmaan hantu lembaga tanpa kepala sering ditemui berdiri di tepi jalan apabila menjelang waktu tengah malam terutama ketika waktu hujan.

Gambar Hiasan – Hantu tanpa kepala yang sering menggangu penduduk Kulim
Ada juga penduduk kampung yang pernah melihat lembaga itu pada waktu pagi, terutama yang bekerja di ladang getah. Seorang Penoreh Getah, En. Abu Hassan Ismail yang tinggal di Terap sejak 54 tahun lalu berkata, hanya mereka yang pernah bertemu dengan lembaga hantu itu sahaja akan mempercayai kewujudannya. Menurutnya, sehingga kini, ramai penduduk sudah melihat sendiri dan ada antara mereka yang sampai demam kerana terkejut.
“Sekitar tahun 2007 dan 2008, penduduk kawasan ini digemparkan dengan penemuan mayat tiga beradik tanpa kepala di dalam kawasan ladang getah. Mereka dipercayai dibunuh di tempat lain dan mayat mereka dibuang disini.”
“Selepas kejadian itu berlaku, ada penduduk kampung, terutama penoreh getah yang keluar bekerja seawal jam 4 pagi, ternampak lembaga tanpa kepala berdiri di tepi pagar kawasan ladang atau di tepi jalan. Sejak itu laluan dari Terap ke Sungai Tengas dikatakan berpuaka” kata En.Abu Hassan.
Sementara itu, seorang penggemar burung yang sering masuk ke kawasan hutan berdekatan berkata, dia turut menemui lembaga itu kira-kira jam 12 tengah hari. Ketika sedang leka mengunggu, dengan tiba-tiba burung yang dijadikan umpan bertukar menjadi liar.
Sedang dalam kehairanan itu, dia merasa seram sejuk dan seakan ada orang sedang memerhati. Apabila dia menoleh ke belakang, lembaga hantu tidak berkepala itu telah ada di belakangnya.
Selain itu, kawasan misteri berkenaan juga sering berlaku kemalangan. Penunggang motosikal, pemandu kereta, bahkan pemandu lori treler juga dilaporkan sering terbabas kerana cuba mengelak daripada lembaga tidak berkepala yang sedang melintas jalan.
Anggota-anggota polis dari Pondok Polis Terap yang sering membuat rondaan juga menyatakan yang kawasan berkenaan amat menyeramkan terutama apabila tiba di puncak bukit.

Nota Kaki – Percaya tentang adanya makhluk ghaib merupakan salah satu dari rukun iman. Tetapi takutkan makhluk ghaib ini lebih dari takutkan Allah boleh jatuh hukum syirik. Semoga kita semua terselamat dan terpelihara dari dosa syirik. Tiada yang boleh memudaratkan kecuali hanya dengan izin Allah.

PaSaRaYa TesCo MerGonG BerHanTu


Pasaraya TESCO di Mergong Kedah dikatakan panas dan berhantu kerana bayi sering sahaja menangis apabila masuk ke premis pasaraya tersebut.


Ibu mertua kepada penulis ada mengatakan yang Pasaraya TESCO di Mergong adalah kawasan panas dan berhantu kerana budak kecil sering sahaja menangis apabila memasuki kawasan premis TESCO itu. Akhirnya penulis menemukan sebab musabab yang mugkin berkait rapat kenapa TESCO Mergong di Kedah itu dikatakan berhantu.


Mungkin ramai pengunjung yang tidak maklum dengan kewujudan dua buah kubur di tepi Pasaraya TESCO Mergong, Alor Setar. Mungkin juga disebabkan kawasan kubur ini telah ditabir dengan pagar zink yang agak tinggi.


Ada pihak mendapat makluman tentang kubur ini daripada beberapa pekerja Pasaraya TESCO dan seorang pembantu kedai di Restoran Makanan Segera Pizza Hut yang juga beroperasi dalam bangunan TESCO Mergong.


Menurut keterangan beberapa pekerja TESCO Mergong, mereka pernah terlihat seakan lembaga hitam sedang bertenggek di atas dahan pokok yang berada ditepi kedua-dua kubur tersebut apabila pulang lewat pada waktu malam.


Seorang pengawal yang bertugas di sini juga menegaskan yang dia sering tercium bau yang wangi disertai perasaan seram sejuk apabila melalui berdekatan kawasan tersebut. Namun perkara sebenar disebalik misteri ini masih belum diurai dan tiada sebarang kes yang dibangkitkan berkaitan kedua-dua kubur tersebut.

Nota Kaki – Percaya tentang adanya makhluk ghaib merupakan salah satu dari rukun iman. Tetapi takutkan makhluk ghaib ini lebih dari takutkan Allah boleh jatuh hukum syirik. Semoga kita semua terselamat dan terpelihara dari dosa syirik. Tiada yang boleh memudaratkan kecuali hanya dengan izin Allah.

Monday, October 8, 2012

BaGaiMaNa UnTuK MeRaWaT BiBiR KeRinG


Pernahkah anda mengalami masalah bibir kering ataupun pecah?


Bibir yang kering, kelihatan pecah-pecah dan mengelupas biasanya dikaitkan dengan keadaan cuaca panas ataupun udara kering contohnya kalau dah lama sangat berada dalam bilik berhawa dingin atau kawasan sejuk. Tetapi mungkin ada yang terlupa bahawa pemakaian gincu yang kurang sesuai juga boleh menyebabkan masalah bibir mengelupas. Sebabnya bahan kimia yang terkandung dalam gincu atau lipstik itu kemungkinan tidak sesuai dengan kulit kita.

Petua Merawat Bibir Pecah
Cuba sapu atau oleskan sedikit mentega pada bibir. Cara ini boleh menjaga kelembutan bibir dan membantu menyembuhkan bibir yang merekah.

Merawat Bibir Kering
Ambil beberapa kelopak bunga mawar dan rendamkan dalam susu segar selama 1-2 jam. Selepas tu ambil air rendaman tu dan sapukan pada bibir yang kering. Kaedah ini dikatakan bukan sahaja membantu melembapkan bibir yang kering malah boleh mencegah agar warna bibir yang merah bugar tu tidak hilang serinya.

Petua Melembapkan Bibir Kering
Caranya ialah oles susu pekat pada bibir. Selalunya amalkan waktu petang lebih kurang pukul 5 atau 6 petang dan biarkan ia sehingga pukul 7 atau 8 sebelum mandi. Amalan ini membantu membuang kulit kering yang mati dan melembutkan bibir.

Atau

Gosok bibir tu dengan timun. Potong timun nipis-nipis dan tempek atau gosokkan pada bibir yang kering untuk merawatnya.

Atau

Satu cara yang dikatakan bagus ialah dengan menggosok gel lidah buaya. Ia dikatakan boleh membantu menyembuhkan bibir yang kering dan pecah-pecah dalam masa yang singkat.


Nota Kaki - Sebenarnya tidak ada masalah besar jika kita mengalami masalah bibir kering mahupun pecah. Namun demikian, jika kita mengalaminya ia akan menimbulkan rasa sakit terutama apabila menikmati makanan pedas. Selain itu kita akan berasa kurang selesa apabila berkomunikasi dengan orang lain.


CaRa MenGaTaSi MaSaLaH BeRaT BaDaN NaiK SeLePaS BerSaLiN



Sebagai seorang isteri yang baru sahaja melahirkan anak, sudah tentu berhadapan dengan situasi masalah berat badan bertambah. Isu ini menjadi berpanjangan sekiranya berat badan yang bertambah itu sukar diturunkan. Jadi tidak hairanlah jika kita lihat kebanyakkan wanita yang sudah mempunyai anak, beratnya semakin bertambah. Namun di sini terdapat cara untuk mengatasinya. Ikuti soal jawab di bawah ini.

Soalan:
Selepas bersalin anak pertama, saya dapati berat badan saya terus meningkat dari 65 kg kepada 88 kg. Bahagian perut nampak lebih banyak lemak dan begitu juga bahagian pinggul.
Saya merasa tertekan dengan masalah berat badan yang makin bertambah ini. Saya cuba kurangkan makan tetapi jarang-jarang bersenam kerana tidak ada masa. Apa yang patut saya buat untuk mengatasi masalah ini?

Jawapan:
Anda tidak perlu terlalu bimbang kerana lazimnya ia mengambil masa selama 8 bulan hingga 1 ½ tahun untuk mengurangkan lemak-lemak yang berlebihan.  Dikatakan amalan menyusu baby atau “breastfeeding” mampu membantu wanita untuk mendapatkan badan yang langsing seperti sediakala.
Sebab itulah memang sangat digalakkan untuk ibu breasfeed untuk sekurang-kurangnya selama 6 bulan pertama, kalau mampu meneruskan sehingga bayi berusia 2-3 tahun lebih baik. Ini akan membantu pemberian nutrien yang diperlukan untuk perkembangan otak dan kesihatan bayi. Pada masa yang sama, membakar lemak-lemak berlebihan pada si ibu.
Sekiranya anda menyusu, maka anda sebenarnya memerlukan lebih banyak makanan yang berkhasiat untuk tenaga dan juga agar badan mampu menghasilkan susu badan yang secukupnya.
Justeru mengurangkan pengambilan makanan atau diet yang tidak seimbang adalah langkah yang kurang wajar.
Sebaik-baiknya amalkan cara dan tabiat pemakanan yang sihat serta luangkan masa untuk bersenam. Contohnya, lebihkan makan sayuran dan buah-buahan, kurangkan cara masakan berlemak, bergoreng dan jenis-jenis makanan serta minuman yang manis.
Pastikan minum air yang mencukupi dan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari untuk membantu membakar lemak-lemak yang berlebihan.

Nota Kaki - Sekarang ini pun sudah banyak cara bagi mengatasi masalah ini selain menjaga pemakanan seimbang. Seperti orang kampung, masih ada lagi yang mengamalkan pemakaian bengkung, kemudian mengurut bagi mengekalkan bentuk badan yang menarik. Ia terpulang bagaimana cara kita untuk mengatasi masalah ini.

Friday, October 5, 2012

SuSu MeLeLeH KeLuaR TanPa HenTi DaRiPaDa MuLuT SeoRanG GaDiS



Sejak dari kita lahir lagi, kita telah dididik dan diajar supaya sentiasa menghormati orang yang lebih tua daripada kita. Terutamanya ibu dan bapa. Bagi seorang ibu, jika anaknya derhaka kepadanya maka jika dia berdoa maka Allah SWT akan membalasnya sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Kisah ini menceritakan tentang seorang gadis yang cuba menderhaka kepada ibunya dengan mengeluarkan kata-kata kesat, akhirnya dirinya jatuh sakit. Ikuti kisah di bawah ini.
“Kalau betul engkau anak kandung aku, minum susu dari badan aku…aku sumpah akan keluar balik susu dari mulut engkau!” Itulah kata-kata sumpahan yang ditujukan ibu kepada saya. Sejak hari itulah saya jatuh sakit. Susu sentiasa meleleh dari mulut saya tanpa henti. Tubuh saya yang dahulunya agak comel jadi kurus melidi tak ubah seperti mayat hidup. Saya terbaring dan menyesali perbuatan lampau saya terhadap ibu.


Tetapi sejahat mana pun seorang anak, ibu tetap mengambil berat sewaktu saya terlantar. Ibu juga risau melihat keadaan saya, hari demi hari semakin teruk. Ibu serba salah dan tidak tahu apa yang patut dilakukan untuk membantu saya. Ibu juga memberitahu saya, menyesal menyumpah saya. Ibu tidak menyangka begitu kuat sumpahan seorang ibu.
Waktu itu hanya tuhan yang tahu betapa seksanya termakan sumpah seorang ibu. Sebulan saya merana kerana sakit. Sebulan itu juga saya tidak makan nasi.
Saya langsung tidak ada selera untuk makan nasi. Biarlah saya lapar begini daripada merana seperti ini. Setiap saat, susu sentiasa mengalir dari mulut saya tanpa mengira masa.
Saya masih ingat , kejadian itu berlaku ketika tiga orang rakan saya datang ke rumah. Sambil berborak, ibu bertanya kepada mereka. “Kamu ni kerja apa?” Tanya ibu kepada rakan-rakan saya.
“Kami semua kerja kilang kat hujung kampung ni mak cik," jawab tiga rakan saya. Ibu terdiam lalu pergi keruang tamu dan duduk di kerusi. Saya buat tidak kisah dengan fiil ibu dan terus ke dapur membuat air untuk di hidang. Waktu itu saya masih ingat saya buat air Milo panas.
Sebaik siap , saya bawa air di dalam teko itu keruang tamu. Tapi, belum sempat meletakkannya di atas meja, ibu terus mengherdik saya.
“Kalau hari-hari engkau hidang air bagi orang makan percuma larilah perbelanjaan kita! Dah, hentikan. Simpan balik air tu!” herdik ibu kepada saya.
Saya merasa malu. Kawan saya semua terdiam kerana merasa terkejut dengan sikap ibu. Saya beritahu ibu supaya jangan berbuat begitu di depan kawan-kawan. Malu!
Sepatutnya ibu harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya di beri rezeki melimpah-ruah dan kami sekeluarga tidak lagi perlu kais pagi makan pagi.
Saya tidak setuju dengan perangai ibu menghina orang miskin. Sebaliknya rakan-rakan yang setaraf atau lebih kaya dari kami dilayannya seperti raja. Mereka diajak datang kerumah dan dihidangkan dengan pelbagai makanan sedap-sedap. Saya betul-betul malu dan terkilan dengan sikap buruk ibu.
Saya ingatkan ibu, dulunya kami sekeluarga pun susah seperti mereka juga. Setelah hidup senang, kita herdik-herdik mereka. Apa perasaan mereka apabila ibu buat begitu?
“Ah! Kau apa tau? Bukan kau yang cari duit ! Aku ni yang susah payah cari duit siang malam, kau senang-senang saja nak menghabiskan!” tambah ibu lagi.
Ketika itu saya seperti orang hilang akal. Saya tidak dapat terima cara ibu memarahi saya di depan kawan-kawan. Tidak semena-mena tangan saya yang sedang memegang teko air Milo panas dihayun lalu tersimbah ke muka ibu.
Ibu melolong-lolong menjerit kesakitan terkena simbahan air Milo panas. Saya mula menyinga. Kawan-kawan terkejut dengan tindakan saya dan cuba menenangkan saya. Tetapi ketika itu saya bagai dirasuk syaitan. Tanpa sedar, saya terus berlari ke dapur mengambil sebilah pisau pemotong sayur.
Sekali lagi kawan dan ayah saya menahan perbuatan saya. Mereka memegang saya dengan sekuat hati. Ibu berlari dan keluar ke pintu depan rumah takut ditetak pisau di tangan saya. Ibu berdiri tercegat di situ. Saya pula terjerit-jerit seperti terkena hysteria.
Disinilah bermulanya episod duka dalam sejarah hidup saya apabila ayat ini terpancul dari mulut ibu.
“Kalau engkau betul anak kandung aku, minum susu dari badan aku, aku sumpah akan keluar balik susu dari mulut engkau!”
Selepas keadaan reda sedikit, rakan-rakan balik rumah. Tiga hari selepas kejadian itu, saya terus jatuh sakit. Saya di serang demam teruk. Ayah bersusah payah menjaga saya. Ibu hanya buat-buat tidak tahu sahaja. Mungkin ibu masih lagi geram dan marah dengan tindakan saya. Ketika itulah berlaku satu kejadian pelik yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini.
Tiba-tiba air susu berwarna putih dan berbau busuk mula meleleh dari mulut saya tanpa henti. Air susu masam itu jatuh membasahi dagu saya setiap detik tanpa henti.
Ayah juga merasa hairan melihat susu aneh tiba-tiba meleleh dari mulut saya. Setiap kali dikesat, air susu itu meleleh lagi tanpa henti. Ibu pula masih tidak endahkan saya.
Keesokan harinya saya masih lagi demam dan susu masih lagi mengalir. Kali ini lebih teruk. Ayah membawa saya ke sebuah klinik.
Anehnya selepas diperiksa, doktor juga mengatakan hairan, mengapa susu masam itu meleleh dari mulut saya. Doktor pun tidak dapat menjelaskan punca dan sebab saya mengalami penyakit aneh ini. Doktor juga mengatakan tiada ubat untuk merawat penyakit yang saya alami ini.
Ayah bawa pula saya ke hospital besar di Bandar. Keputusannya tetap sama juga apabila doktor tidak dapat mengenal pasti punca penyakit saya. Jadi saya dibawa pulang semula dan terbaring siang malam. Selama sebulan saya terlantar ibu mulai risau dengan keadaan saya yang semakin kurus ini. Ibu beberapa kali meminta maaf kepada saya kerana tidak menyangka kata-kata yang dilafazkannya betul-betul menjadi kenyataan.
Akhirnya ibu sendiri pergi berjumpa dengan seorang ustaz di kampong saya. Ustaz ini memang dikenali ramai kerana kealiman dan kehebatan ilmunya. Ibu membawa ustaz ini berjumpa saya di rumah. Apabila ustaz melihat keadaan saya, beliau terus menggeleng-gelengkan kepala.
“Ada tak apa-apa yang ibu kamu buat sebelum terkena penyakit ini?” Tanya ustaz itu. Ayah lalu menceritakan tentang perbuatan saya menyimbah air panas ke muka ibu. Selepas itu, ibu terus mengeluarkan kata-kata sumpahan tentang air susu yang pernah di minum ketika saya masih bayi.
Sekali lagi ustaz itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Ustaz itu dalam nada perlahan memberitahu saya terkena sumpahan ibu. Ustaz itu lalu mengajak ibu dan ayah saya ke dapur.
Ustaz itu menerangkan penyakit saya tidak ada ubatnya kecuali meminum air bekas celupan tapak tangan dan tapak kaki ibu. Ustaz itu menyuruh ibu membasah kedua-dua tangannya di dalam baldi diikuti kedua-dua belah kakinya seperti orang mengambil wuduk.
Ustaz itu menerangkan penyakit saya tidak ada ubatnya kecuali meminum air bekas celupan tapak tangan dan tapak kaki ibu.
Setelah selesai, ustaz itu menyuruh ibu meludah di dalam baldi itu sebanyak tiga kali. Kemudiannya air ludah di dalam baldi itu disimpan di dalam sebuah bekas khas. Utaz itu berpesan kepada ibu supaya memberi air ludah itu untuk diminum oleh saya dan selebihnya disapu di ubun-ubun kepala saya sehingga habis.
Selepas ibu memberi minum dan menyapu air ludah itu di kepala, pada masa itu juga saya terus merasa lapar dan meminta nasi untuk dimakan. Selera saya yang tersekat selama sebulan lebih datang kembali. Mujarab sungguh cara rawatan ustaz ini. Serta merta air susu masam yang meleleh sejak sebulan lalu berhenti mengalir.
Saya mencium kaki ibu. Saya menangis. Saya menyesal berdosa kepada ibu. Ibu memberitahu sejak kejadian, ibu telah memafkan perbuatan saya. Ibu memeluk saya dan kami bertangis-tangisan di depan ustaz. Ustaz itu membacakan doa dan menasihati ibu supaya tidak mengeluarkan kata-kata sumpahan terhadap anak. Ustaz itu mengingatkan bahawa sumpahan seorang ibu amat ampuh dan berkesan terhadap seorang anak. Akibatnya sangat buruk dan tiada penawarnya kecuali anak itu diberi ampun selain meminum air kaki dan tangan ibunya dengan ikhlas dan redha.
Sejak hari itu, saya tidak lagi meninggikan suara kepada ibu. Ibu juga sedar kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini. Yang paling penting, ibu tidak lagi sesombong dahulu. Ibu juga tidak kedekut dan suka menghina orang susah.
Saya ingin berpesan kepada pembaca, jangan sesekali bertindak biadab terhadap ibu biar sejahat mana sekalipun ibu kita. Saya sudah merasai betapa sengsara, merana dan terasa ajal hendak tercabut akibat disumpah ibu. Ingat, sumpahan seorang ibu itu adalah benar kerana ianya telah benar-benar menimpa keatas diri saya sendiri.
‘Saya’ dalam artikel ini adalah Roseyatimah bt Ahmad, berasal dari Sabah. Kejadian berlaku ketika beliau berusia di awal remaja. Kini beliau telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Walaupun berjauhan, Rose tetap sayang dan menghormati ibunya.

Nota Kaki - Cerita ini dikatakan dipetik dari malajah Mastika 2010. Walaubagaimanapun, terpulang kepada para pembaca untuk mempercayai atau sebaliknya. Cuma agak musykil dengan kaedah rawatan yang terpaksa minum air celupan tangan dan kaki ibunya.  Namun pengajaran di sini, jangan sesekali kita menyakiti hati ibu kita. Wallahu’alam.