Seorang saksi kejadian, Mohd Desa Ahmad, 52, berkata, cerita
kewujudan hantu itu mula tersebar di seluruh kampung sejak tiga bulan lalu
apabila sebanyak tiga kes penemuan lembaga berkenaan dilaporkan sehingga kini. Menurutnya, pengalaman
terserempak dengan lembaga menyerupai hantu pocong benar-benar memberi igauan
buruk setelah sebelum ini menganggap dakwaan beberapa penduduk sebagai tidak
berasas.
“Kejadian itu
berlaku semasa saya sedang mengambil angin di luar rumah baru-baru ini dan
tercium bau aneh seakan-akan bau tanah kubur sewaktu sedang menghisap rokok. Pada masa sama,
saya mendapati terdapat sebuah motosikal sedang melintasi hadapan rumah dan
alangkah terkejutnya apabila terdapat satu objek berbungkus kain putih
sedang ‘membonceng’ motosikal itu tanpa disedari penunggangnya,” katanya
sewaktu ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini semalam. Mohd Desa
berkata, dia tergamam melihat objek berbungkus itu buat seketika, bagaimanapun
keadaan menjadi lebih mengerikan apabila muncul di hadapannya secara tiba-tiba.
“Sedang saya
tergamam melihat kejadian itu, tiba-tiba objek itu hilang dan paling
memeranjatkan, lembaga itu muncul di hadapan saya dalam jarak 10 meter. Hanya Allah yang
tahu perasaan saya ketika ini dan saya segera meluru masuk ke dalam rumah dan
menutup semua tingkap serta pintu tanpa berfikir panjang,” katanya.
Seorang lagi
saksi kejadian, Salleh Mat, 58, berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan
anak-anaknya sedang berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen pada jam
11 malam. “Pada masa itu
saya hendak menutup pintu belakang rumah kerana sudah lewat malam. Saya
perasan ada kelibat seseorang di luar rumah berpakaian serba putih namun tidak
berapa jelas kerana keadaan pada masa itu terlalu gelap. Saya pun turun
dari rumah dan memberanikan diri untuk melihat dengan lebih dekat. Bagaimanapun,
kelibat lembaga itu merupakan sebuah objek berbungkus yang menyerupai tubuh
mayat yang dikafankan,” katanya.
Salleh yang
terperanjat dengan kejadian itu terus memasuki rumah dan mengunci semua pintu
dan tingkap sehingga menimbulkan kehairanan isteri dan anak-anaknya “Saya yakin
lembaga yang saya lihat merupakan hantu pocong berdasarkan bentuk sama seperti
manusia yang dikafankan di mana kain yang membaluti tubuh amat pudar selain
mempunyai satu ikatan di atas kepala,” katanya.
Sementara itu,
sumber dari penduduk asal kampung menceritakan kejadian ini dikatakan sering
berlaku semasa pembukaan kampung ini sekitar tahun 1980-an sebelum isu itu
lenyap beberapa tahun kemudian. Bagaimanapun,
kejadian penduduk ‘diganggu’ hantu pocong berulang kembali dipercayai berpunca
perlaksanaan projek penempatan semula penduduk kampung yang dikatakan
‘mengganggu’ kediaman asal makhluk halus di sini.
“Berdasarkan
cerita orang tua sebelum ini, kampung ini sebelum dibuka dipenuhi hutan nipah
dan hutan paya bakau. Dikatakan pelbagai perkara buruk berlaku semasa pembukaan
kampung. “Ia disebabkan di
kawasan hutan nipah ini terdapat banyak kubur-kubur lama yang tidak bertanda
selain sebuah kubur ‘keramat’ yang dikatakan turut terletak di kawasan
kampung kami,” katanya.
Seorang lagi
penduduk yang ingin dikenali sebagai Radhi berkata, lokasi pangkalan Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau dan kawasan sekitarnya
dikatakan berasal dari tapak perkuburan lama yang banyak terdapat di kawasan
itu. “Semasa pembinaan
pangkalan itu, terdapat gangguan sebegini dialami penduduk kampung sebelum
perkara sama berulang kembali sejak tiga bulan.
“Kami tidak
menolak kemungkinan ‘kemunculan’ kembali makhluk berkenaan disebabkan kerja
pembinaan penempatan semula penduduk kampung yang sedang dijalankan yang
dipercayai menyebabkan makhluk itu ‘marah’ dan mengganggu kami,” katanya.
Nota Kaki - Memang tidak
hairanlah jika kawasan tersebut pernah didiami makhluk halus, mereka akan
menganggu jika kita membuat kacau di kawasan tersebut. Namun tentang kemunculan
hantu pocong yang dikaitkan dengan cerita ini, ia adalah bergantung kepada
individu yang mahu mempercayai atau sebaliknya. Namun mereka juga makhluk
ciptaan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment